EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi susulan minat belian sederhana

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Bursa Malaysia dibuka tinggi susulan minat belian yang sederhana dalam saham wajaran tinggi dan sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik, kata peniaga.

Pada 9.23 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.52 mata kepada 1,682.69 daripada 1,679.17 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks dibuka tinggi 6.55 mata kepada 1,685.72.

JF Apex Research berkata FBM KLCI dijangka terus meningkat semula kepada paras halangan pada 1,710 mata, susulan prestasi positif di Wall Street.

“Pasaran AS meningkat semalaman dengan dagangan yang tidak menentu susulan rundingan perdagangan AS-China yang bermula. Sementara itu, saham Eropah merosot berikutan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi global, Brexit dan penutupan kerajaan AS,” katanya dalam nota hari ini.

Suasana pasaran Bursa Malaysia positif, apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 201 berbanding 131, manakala 223 kaunter tidak berubah, 1,312 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 337.49 juta saham bernilai RM147.52 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM9.48, Public Bank meningkat empat sen kepada RM24.74, TNB dan Petronas Chemicals, masing-masing menambah enam sen kepada RM14 dan RM8.99, manakala CIMB dan IHH Healthcare, masing-masing naik lima sen kepada RM5.69 dan RM5.61.

Sementara itu, Maxis merosot empat sen kepada RM5.62 dan Petronas Gas susut 34 sen kepada RM17.66.

Daripada saham aktif, Gagasan Nadi Cergas yang mula disenaraikan di Pasaran Ace naik dua sen kepada 32 sen, Sapura Energy menokok 1.5 sen kepada 30 sen, Lay Hong menambah setengah sen kepada 42.5 sen manakala Bumi Armada, Hubline dan AirAsia X, masing-masing tidak berubah pada 15 sen, lima sen dan 30.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 26.95 mata kepada 11,526.17, Indeks FBMT 100 meningkat 25.12 mata kepada 11,425.47 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 17.28 mata kepada 11,457.12.

Indeks FBM Ace menokok 3.75 mata kepada 4,398.37, manakala FBM 70 naik 34.10 mata kepada 13,202.25.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 54.67 mata kepada 17,414.23, Indeks Perladangan meningkat 9.10 mata kepada 6,957.69 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.91 mata kepada 165.32.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :