NASIONAL

Bursa Malaysia rendah sedikit dalam sesi dagangan awal

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pagi ini didorong sentimen pasaran lemah berikutan pelabur mengambil isyarat daripada penurunan prestasi Wall Street susulan penyusutan harga minyak, menurut peniaga.

Pada 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) 1.45 mata lebih rendah pada 1,674.71 berbanding 1,676.16 semasa ditutup pada Isnin selepas dibuka 1.33 lebih rendah pada 1,674.83.

MaybankIB Research berkata, langkah pengambilan untung oleh barisan kedua dan ketiga akan berterusan berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan global dengan saham pengguna kekal menjadi tumpuan berikutan peningkatan ketidaktentuan.

Firma penyelidikan itu menjangkakan ukuran indeks akan kekal berada di atas paras sokongan semasa pada 1,670.

“Kami menjangka FBMKLCI akan berada pada julat antara 1,660 dan 1,690 hari ini dengan penurunan aliran sokongan pada 1,658 dan 1,644,” kata firma penyelidikan itu dalam nota, hari ini.

Kedudukan pasaran secara keseluruhannya lebih baik sedikit dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 100 berbanding 82, manakala 142 kaunter tidak berubah, 1,875 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 81.51 juta saham bernilai RM23.29 juta.

Bagi saham berwajaran tinggi, Tenaga turun enam sen kepada RM13.80, Petronas Chemicals susut lima sen kepada RM8.30 dan CIMB jatuh satu sen kepada RM5.64.

Maybank, bagaimanapun, naik satu sen kepada RM9.44, manakala Public Bank tidak berubah pada RM24.70.

Dalam kalangan saham cergas, Tatt Giap, Jag, Protasco, Hubline, Berjaya Corporation dan Daya Materials masing-masing tidak berubah pada 14.5 sen, 7.5 sen, 29.5 sen, enam sen, 29.5 sen dan satu sen.

Syarikat yang baru tersenarai di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama Bursa Malaysia, Uni Wall App Holdings Bhd ( UniWall), mencatatkan kadar premium empat sen pada sesi pembukaan dengan harga tawaran 20 sen.

Indeks FBM Emas susut 3.85 mata kepada 11,554.4, Indeks FBMT 100 jatuh 4.71 mata kepada 11,441.51 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 3.1 mata kepada 11,464.71.

Bagaimanapun, FBM 70 naik 15.86 mata kepada 13,514.25 dan Indeks FBM Ace menokok 3.85 mata kepada 4,428.34.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 24.74 mata kepada 7,370.26, tetapi Indeks Perladangan naik 5.76 mata kepada 7,110.98 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.23 mata kepada 161.55.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :