EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia susut

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini dalam aktiviti jualan sederhana membabitkan saham wajaran tinggi didahului saham-saham kewangan ketika para pelabur memberi reaksi terhadap prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur, kata peniaga.

Pada jam 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.95 mata kepada 1,689.46 daripada 1,690.41.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 0.72 mata kepada 1,689.69.

Sentimen pasaran bagaimanapun adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 134 berbanding 68 manakala 1,590 yang lain tidak diniagakan dan 102 kaunter digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 90.37 juta saham bernilai RM37.03 juta.

Seorang peniaga berkata para pelabur turut bertindak mengambil untung masing-masing selepas beberapa saham kewangan mencatat peningkatan semalam, terutamanya Maybank, CIMB dan Hong Leong Bank.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd berkata pelabur juga dalam proses menerima pendapatan korporat terakhir di Amerika Syarikat (AS) dan menunggu petunjuk baharu hasil mesyuarat Rizab Persekutuan AS dan rundingan perdagangan AS-China.

“Wujud banyak ketidakpastian di United Kingdom ketika pasaran menyaksikan babak akhir Brexit di Westminster,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Selain itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata secara teknikalnya, ia mengekalkan prospek ‘neutral’ terhadap indeks itu yang masih melepasi purata pergerakan mudah (SMA) antara 20 dan 50 hari walaupun penunjuk berada dalam zon belian berlebihan.

“Sekiranya rundingan perdagangan (AS-China) itu cenderung ke arah lebih baik, ia boleh menyuntik momentum positif berterusan dan mencecah paras rintangan 1,730 dan mungkin juga paras 1,800.

“Namun, jika sebaliknya, tahap sokongan berada pada paras 1,650 dan bawah 1,600,” kata Kenanga menerusi nota penyelidikannya.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun lima sen kepada RM9.64, Public Bank susut enam sen kepada RM24.74, Tenaga dan Petronas Chemicals masing-masing naik dua sen kepada RM13.52 dan RM8.47, CIMB berkurangan dua sen kepada RM5.65 dan Hong Leong Bank tidak berubah pada RM20.72.

Bagi saham aktif, Sinmah Capital menokok dua sen kepada 21.5 sen, Hubline untung setengah sen kepada 6.5 sen dan Sapura Energy tidak berubah pada 27 sen.

Indeks FBM Emas menokok 3.78 mata kepada 11,706.48, Indeks FBMT 100 naik 3.46 mata kepada 11,594.52 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 14.05 mata kepada 11,605.76.

Indeks FBM Ace menambah 11.39 mata kepada 4,372.76 dan FBM 70 meraih 45.16 mata kepada 13,911.96.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 20.04 mata kepada 17,601.78, Indeks Perladangan berkurangan 11.69 mata kepada 7,252.12 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.23 mata kepada 161.75.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :