NASIONAL

Bursa Malaysia teruskan momentum meningkat

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Bursa Malaysia meneruskan momentum menaik minggu lepas untuk dibuka lebih tinggi hari ini didorong sentimen belian positif dengan minat terhadap saham murah dan saham berwajaran tinggi terpilih.

Pada 9.07 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.36 mata kepada 1,683.58 daripada 1,683.22 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas walaupun dibuka pada 1,683.05, pagi ini.

Peniaga berkata, sentimen pasaran disokong petanda kemajuan perbincangan perdagangan Amerika Syarikat-China ditambah harga minyak lebih baik dengan penanda aras, minyak mentah Brent naik 0.36 peratus kepada US$60.70 setong setakat ini.

AllianceDBS Research menjangkakan FBMKLCI diniagakan melebihi paras 1,684.99 hari ini.

Lingkungan pasaran keseluruhan adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 157 berbanding 91, manakala 173 kaunter tidak berubah, 1,441 kaunter tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 158.39 juta saham bernilai RM38.86 juta.

Bagi saham berwajaran tinggi, Tenaga naik dua sen kepada RM13.88 dan CIMB meningkat satu sen kepada RM5.66, namun Petronas Chemicals turun empat sen kepada RM8.66.

Maybank, Public Bank, dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM9.45, RM24.76 dan RM5.73.

Bagi saham aktif, RGB naik satu sen kepada 21.5 sen, manakala Hubline dan KNM masing-masing tidak berubah pada 5.5 sen dan 8.5 sen.

Perisai, yang akan digantung berkuat kuasa mulai 22 Jan berikutan penolakan cadangan pelan penyusunan semula oleh Bursa Malaysia Securities Bhd, berkurangan 2.5 sen kepada lima sen.

Indeks FBM Emas turun 0.65 mata kepada 11,617.38, Indeks FBMT 100 kurang 2.71 mata kepada 11,498.51, Indeks FBM Emas Syariah susut 1.89 mata kepada 11,565.57, dan FBM 70 merosot 24. 53 mata kepada 13,566.85.

Indeks FBM Ace, bagaimanapun, meningkat 47.77 mata pada 4,505.87.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan menambah 16.92 mata kepada 17,432.55, Indeks Perladangan meningkat 2.8 mata kepada 7,120.44 tetapi Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.09 mata kepada 164.78.

– BERNAMA


Pengarang :