SELANGOR

Buttermilk Chicken Coboroy antara tersedap di Shah Alam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 JAN: Tidak keterlaluan rasanya jika dikatakan Buttermilk Chicken yang dihidangkan di Kafe Coboroy ini antara paling sedap pernah dinikmati penulis.

Bukan setakat sedap, malah harganya juga cukup berpatutan, iaitu serendah RM8 dan paling menarik ialah saiz hidangannya cukup mengenyangkan perut anda.

Pemilik Kafe Coboroy, Imran Abdul Jalil berkata, dia terkejut apabila kedainya pernah menjadi viral dan bualan orang ramai ketika mula baru dibuka.

“Sedangkan pada waktu itu kami tidak membuat sebarang ‘marketing’ secara besar-besaran dan hanya mengunakan medium instagram sahaja.

“Disebabkan itu, pelanggan terpaksa beratur panjang untuk menikmati Buttermilk Chicken dan sajian ‘Shell out’ istimewa dari Coboroy,” katanya.

Terletak di Bangunan IRDKL, Seksyen 16, kafe yang dimiliki anak muda berusia 26 tahun itu tidak pernah mengenal erti takut untuk mencuba.

Imran yang juga graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Perniagaan berkata, gara-gara minat yang mendalam terhadap bidang itu membuatkannya tidak mahu makan gaji semata-mata.

“Daripada perniagaan kecil-kecilan akhirnya saya sendiri tidak sangka boleh berniaga di sebuah premis besar dengan kehadiran pelanggan hampir 300 orang sehari.

“Selain Buttermilk Chicken dan ‘Shell Out’, kami turut menghidangkan menu Honey Chicken Sambal, Coboroy Signature Chili Chicken dan Spagethi Carbonara, yang menjadi pilihan pelanggan,” katanya.

Memegang konsep ‘simple and tasty’, Coboroy turut dikunjungi golongan pelajar dan keluarga kerana harganya yang berbaloi.


Pengarang :