GLOBALSUKANKINI

Cardiff City harap Emiliano Sala ditemui selamat

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 23 JAN: Cardiff City FC berharap pemain yang baharu ditandatangani, Emiliano Sala akan ditemui dalam keadaan selamat susulan perkhabaran membimbangkan sejak malam Isnin lalu apabila pesawat dinaikinya ke United Kingdom, masih hilang.

Dalam satu kenyataan, pihaknya berterima kasih kepada semua peminat bola sepak yang mendoakan dan memberikan sokongan ketika mereka berhadapan keadaan sukar.

“Kami sangat terkejut apabila mendengar berita bahawa pesawat itu hilang. Kami menjangkakan Emiliano tiba malam ke Cardiff dan hari ini (semalam) adalah hari pertama dengan pasukan.

“Pemilik kami, Tan Sri Vincent Tan dan pengerusi, Mehmet Dalman, semuanya sangat tertekan mengenai keadaan itu.

“Kami membuat keputusan perkara pertama pagi ini untuk membatalkan latihan dengan ingatan skuad, kakitangan pengurusan dan seluruh kelab terhadap Emiliano serta juruterbang.

“Kami semua di Cardiff City FC ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat kami, dan seluruh keluarga bola sepak untuk sokongan mereka pada masa sukar ini. Kami terus berdoa untuk berita positif,” katanya.

Sala, 28, dikhabarkan ke Perancis bertemu beberapa rakan sebelum pulang semula ke Cardiff.

Dalam perkembangan sama, bekas rakan sepasukan, Diego Rolan mendedahkan Sala ada menghantar mesej kepada rakan dengan menyatakan kebimbangan dan rasa takut sekiranya mereka tidak menemuinya.

Beliau diumumkan sebagai pemain baharu Cardiff City selepas berhijrah dari FC Nantes dengan yuran perpindahan 15 juta Pound Sterling.


Pengarang :