NASIONAL

Cuaca tidak menentu, pengundi Cameron Highlands disaran keluar awal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JAN: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dinasihatkan supaya keluar mengundi pada awal pagi Sabtu ini ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan dijangka, pada sebelah petang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Azhar Azizan Harun berkata, pengundi juga dinasihatkan tidak memilih untuk keluar mengundi. pada saat akhir.

“Terdapat juga pusat mengundi ditutup lebih awal ekoran faktor logistik dan kedudukan geografi pusat berkenaan.

“Oleh itu, SPR menyeru semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK, Sabtu ini (26 Januari),” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Azhar berkata, pengundi juga perlu membuat semakan awal maklumat daftar memilih sebelum hari pengundian yang boleh disemak melalui portal rasmi SPR www.spr.gov.my, talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi yang mengetahui maklumat daftar pemilih tidak perlu menyemaknya di barung SPR, sebaliknya diminta mencatatkan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

“Pengundi disaran membawa catatan maklumat terbabit dan menunjukkannnya kepada Kerani Pengundian Pertama di saluran bagi memudahkan semakan nama dibuat dan membantu kelancaran proses pengundian.

“Mereka juga dinasihatkan untuk membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri rasmi dan sah pada hari pengundian serta tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, katanya, berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 14 Disembar lalu, jumlah pemilih layak mengundi biasa adalah seramai 31,749 orang.

“Bagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 110 kertas undi pos dikeluarkan kepada pengundi layak bagi undi pos menjadikan mereka yang layak mengundi biasa Sabtu ini adalah 31,639 orang,” katanya.


Pengarang :