SUKANKINI

Demi ‘Gergasi Merah, penyokong ‘tak layan’ jersi tiruan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 JAN: Penyokong setia Gergasi Merah sedia mengeluarkan belanja lebih dengan membeli jersi tulen bagi membantu mengukuhkan kewangan pasukan kesayangan mereka.

Penyokong Selangor yang berasal dari Sepang, Muhammad Rafiuddin Mahat, 31, berkata langkah itu sekali gus membolehkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyediakan pasukan mantap dan menaik taraf fasilti pasukan seperti di pusat latihan.

“Tak guna sembang lebih konon ‘Selangor sampai mati’ tetapi beli jersi tiruan sedangkan jersi tulen berkualiti tinggi, berbaloi dan harga sangat berpatutan yang mampu dibeli semua golongan.

“Jersi tiruan sangat perlu dibanteras dan pada masa sama menunjukkan sokongan 100 peratus kepada FAS dalam pembaharuan yang sedang giat dijalankan demi kebaikan Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Eksekutif Swasta, Abu Samah Esmahil, 40 berkata, penyokong bola sepak juga perlu mempunyai kesedaran untuk tidak menyokong lanun cetak rompak dengan membeli jersi tiruan.

“Jersi tulen versi penyokong yang ditawarkan FAS bukan sahaja sangat murah dan berbaloi tetapi dijual separuh harga berbanding versi pemain, namun tetap berkualiti.

“Saya percaya gejala cetak rompak perlu dibenteras dengan mengadakan penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, ahli perniagaan, Meer Aziz Nagoor Ghani, 40, daripada Klang pula menyeru penyokong pasukan Selangor berganding bahu membenteras penjualan jersi tiruan.

“Setiap penyokong setia harus membanteras jersi cetak rompak dengan penyokong sendiri menjadi ejen FAS kerana ada pihak kaut keuntungan tetapi pasukan dan FAS sendiri rugi .

“Demi bola sepak kita, bangkitlah penyokong bersama membanteras jersi cetak rompak demi kebangkitan pasukan dan FAS sendiri yang diterajui Raja Muda Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Presiden FAS, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah melancarkan jersi pasukan Selangor 2019 yang ditaja jenama antarabangsa, Joma.

Jersi dengan tiga variasi iaitu ‘home’, ‘away’ dan ‘3rd kit’ itu terdapat dua veris iaitu versi pemain berharga RM89.10 dan versi penyokong pula berharga RM44.10.


Pengarang :