SELANGOR

Denggi di Gombak masih terkawal

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 JAN: Kes denggi di Gombak dilaporkan masih terkawal sehingga minggu keempat bulan ini, kata Ahli Majlis Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Amir Fazlee Khalid.

Beliau berkata, kes denggi dilaporkan di kawasan terbabit setakat ini ialah 145, sedikit menurun berbanding minggu ketiga iaitu 197.

“Seperti kita tahu, peratusan kes denggi di Selangor agak tinggi, namun di daerah Gombak keadaan masih terkawal dan tiada kematian dilaporkan setakat ini.

“Bagaimanapun, pihak MPS dan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak sentiasa bekerjasama menjalankan operasi bagi membasmi kes denggi daripada terus berlarutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPS Bil 1/2019 di MPS, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan kepada masyarakat untuk bersama membanteras denggi dengan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit sehari membersihkan persekitaran.

Berdasarkan rekod, kumulatif kes denggi di daerah Gombak sehingga 26 Januari ini adalah 670 berbanding 350, pada tahun lalu.


Pengarang :