NASIONAL

Dr Maszlee sah bukan lagi Presiden UIAM

KLUANG, 6 JAN: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengesahkan beliau tidak lagi memegang jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang sepatutnya berakhir pada 2021.

Beliau berkata, surat perletakan jawatan telah ditandatanganinya dan kini menunggu pengumuman rasmi UIAM untuk pelepasan jawatan disandangnya bermula September tahun lalu.

“Saya kini bukan lagi Presiden UIAM, surat perletakan jawatan telah saya tandatangani, cuma kini menunggu pengumuman dari UIAM termasuk individu bakal menggantikan saya.

“Perletakan jawatan ini atas kerelaan saya dan demi kebaikan bersama,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan kedudukannya dalam UIAM di sini. hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja dan memberikan sumbangan kelengkapan klinik di Klinik Kesihatan Simpang Renggam turut dihadiri Pakar Perubatan dan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Simpang Renggam, Dr Fatimah Hassan.

Dr Maszlee berkata, beliau turut berharap semua pihak dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada individu bakal menggantikan tempatnya.

Beliau turut enggan mengulas tarikh sah perletakan jawatannya selain enggan mengulas lanjut berkenaan desas-desus individu bakal menggantikannya iaitu bekas Naib Canselor UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Sementara itu, semasa lawatannya ke klinik kesihatan berkenaan beliau telah memberikan beberapa kelengkapan untuk kemudahan orang ramai termasuk kerusi menunggu dan alat pendingin hawa.

Katanya, pemberian sumbangan berkenaan adalah susulan daripada gambar dan berita diviralkan dalam media sosial mengenai beberapa kemudahan terbabit telah uzur serta tidak selesa untuk kegunaan umum.

“Hari ini kita berikan beberapa kemudahan di klinik di sini agar orang ramai terutamanya pesakit akan berada dalam keadaan selesa ketika menunggu giliran mereka untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :