SELANGOR

DUN Permatang komited laksana program pemberdayaan wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang komited mahu melaksanakan program pemberdayaan wanita bertujuan menggalakkan golongan terbabit menjana pendapatan sekali gus mempunyai ilmu dalam bidang berkaitan.

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata, agenda itu untuk memberdaya wanita supaya mampu menjana pendapatan sendiri sekali gus berupaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Kita sudah merangka pelbagai program bersiri sepanjang tahun ini yang bersesuaian antaranya kelas pembuatan kek, kelas menjahit dan kelas pastri.

“Setiap hari adalah masa untuk mencari ilmu dan menjana pendapatan. Oleh itu, menjadi salah satu keutamaan saya untuk melahirkan wanita Permatang yang cukup berdaya dalam pelbagai aspek,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, kebanyakan wanita khususnya di DUN Permatang mempunyai idea dan berpotensi untuk pergi lebih jauh yang perlu dibimbing supaya mereka menjadi lebih berani serta punya hala tuju jitu.

“Pada akhir program, kita akan memastikan kesemua peserta mempunyai produk berkualiti dan mampu meluaskan perniagaan ke peringkat lebih jauh seperti pasaran antarabangsa.

“Selain itu, fokus diberi bukan sahaja terhadap kualiti produk, namun yang utama adalah kita mampu membawa wanita Permatang ke peringkat lebih tinggi tanpa meninggalkan sisi rendah diri wanita desa,” katanya.

Terdahulu, Rozana sempat meluangkan masa bersama 40 wanita sekitar DUN Permatang dalam Program Jom Belajar Baking bersama Chef Pandak (Mediterranean Pizza & Fruity Pastry Cake) berlangsung di Dewan Biru Muda, Taman Nilam, Tanjung Karang, pada 6 Januari lalu.

Program bersiri itu adalah penterjemahan daripada Pemberian kepada Pemberdayaan (From Gift to Empowerment) yang menjadi titik utama dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2019 oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Menariknya, Rozana bercadang mengadakan Program Jom Belajar Baking pada Ahad setiap bulan (minggu pertama dan ketiga) di Dewan Biru Muda, Pusat Khidmat DUN Permatang, Taman Nilam, Sungai Terap, Tanjung Karang.

 


Pengarang :