EKONOMI

Eco World yakin kempen ‘HOPE’ jana RM6 bilion

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Eco World Development Group Bhd (Eco World Malaysia) menyasarkan kempen program pemilikan rumah ‘Home Ownership Programme with Eco World’ (HOPE) anjurannya mampu menjana jualan RM6 bilion bagi tahun kewangan 2019 dan 2020.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chang Khim Wah berkata, ini berikutan kejayaan kempen sama pada 2018 serta jumlah pertanyaan positif yang diterima membabitkan produk syarikat tersebut.

“Kami berjaya meraih hasil jualan bernilai RM2 bilion – 1,800 unit kediaman menerusi kempen #OnlyEco World dan masih ramai yang mengunjungi galeri jualan syarikat untuk mendapat maklumat lanjut mengenai unit-unit kediaman ditawarkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen HOPE di sini, hari ini.

Bagi kempen tahun ini, syarikat pemaju tersebut menawarkan dua pilihan kepada pembeli iaitu ‘HELP2OWN’ (H2O) untuk pembelian unit kediaman menerusi pelan gadai janji.

Manakala ‘STAY2OWN’ (S2O) pula membolehkan pembeli, khususnya pembeli rumah pertama untuk menyewa dan seterusnya memiliki rumah berkenaan selepas tempoh setahun atau dua tahun.

Pilihan kedua itu melibatkan kerjasama dengan Malayan Banking Bhd di bawah skim HouzKEY Maybank.

“Pembeli berkemungkinan mengalami isu untuk membayar bayaran pendahuluan rumah dan memerlukan tempoh tambahan selama dua atau tiga tahun sebelum dapat membeli rumah. Oleh itu, S20 itu amat berguna untuk mereka.

“Maybank Islamic akan memegang pemilikan itu dan menerusi bayaran sewa bulanan, mereka (pembeli) akan mampu memiliki kediaman berkenaan,” katanya.

Eco World Malaysia berjaya melepasi jualan RM3.1 bilion bagi tahun kewangan 2018 dengan sejumlah RM2.2 bilion diraih pada separuh kedua 2018.

Angka jualan belum direkodkan yang dibawa ke tahun kewangan 2019 adalah RM6.44 bilion yang disifatkan sebagai tertinggi bagi syarikat itu.

Mengulas masalah unit tidak terjual yang menjejaskan pasaran hartanah tempatan, Chang berkata, Eco World sebaliknya tidak mengalami isu tersebut.

Dalam pada itu, jumlah tanah simpanan Eco World Malaysia mencecah 3,288.64 hektar dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM87.5 bilion.

— BERNAMA


Pengarang :