GLOBAL

EU gesa pegawai Lubnan percepat pembentukan kerajaan

BEIRUT, 29 JAN: Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Lubnan, Christina Lassen menggesa para pegawai Lubnan mempercepat pembentukan kerajaan baharu.

Antara lain, gesaan itu juga menuntut pembentukan kerajaan baharu supaya proses pembaharuan ekonomi dapat dimulakan bagi menyelamatkan negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

“Kesatuan Eropah sedia membantu Lubnan dengan semua pembaharuan ini,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Agensi Berita Nasional semasa pertemuannya dengan bakal Perdana Menteri Saad Hariri.

Lassen berkata, ketiadaan kerajaan di Lubnan mempunyai kesan negatif ke atas rakyatnya.

Sementara itu, Hariri berkata pembaharuan merupakan cabaran terbesar kepada kerajaan baharu.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa Lubnan mampu bangkit daripada masalahnya apabila kerajaan baharu dibentuk.

Terdahulu, Lubnan bergelut untuk membentuk kerajaan sejak Hariri dinamakan sebagai perdana menteri, pada Mei lalu.

Pembentukan kerajaan telah berdepan pelbagai halangan, terutama dari segi perbezaan pendapat parti politik berhubung perwakilan dalam kerajaan baharu.

Para pegawai dan ahli ekonomi telah berulang kali meminta agar pembentukan kerajaan baharu di Lubnan dipercepat dalam usaha menyelamatkan sektor ekonomi negara itu daripada terus merosot.

– BERNAMA


Pengarang :