dav
SELANGOR

EXCO gesa MPK banteras kebanjiran kilang haram

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 26 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) diminta mengambil tindakan serta-merta terhadap kilang haram yang kian berleluasa di kawasan itu, yang menyumbang kepada peningkatan denggi.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal itu kerana terdapat kilang atau perindustrian yang masuk secara haram dan membiarkan barangan seperti tayar terbiar, menyebabkan punca Aedes membiak.

“Saya minta MPK mengubah keadaan sini (Flat Sri Bahtera) kerana apabila tayar disimpan di tempat tidak berbumbung, air akan bertakung sekali gus jentik-jentik dan Aedes akan membiak dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Flat Sri Bahtera, di sini, semalam.

Katanya, ekoran kilang haram itu berdekatan dengan flat terbabit, tidak mustahil Aedes mudah membiak kerana nyamuk boleh terbang dalam jarak kira-kira 500 meter.

“Saya sudah lihat sekitar Flat Sri Bahtera ini dan secara umum, kawasan bersih cuma terdapat banyak tempat terbengkalai yang memberi peluang Aedes membiak.

“Oleh itu, besar kemungkinan penduduk di sekitar sini tidak terlepas daripada gigitan nyamuk,” katanya.

Terdahulu, sejumlah tiga kematian dilaporkan berlaku di Flat Sri Bahtera ekoran denggi.


Pengarang :