PETALING JAYA, 31 Jan — Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ishak Ismail (tiga, kiri) beramah mesra bersama peniaga pada Majlis Pelancaran Jualan Jimat Belanja sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Tani Seksyen 17 hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SELANGOR

FAMA sasar tambah 25 pasar tani pada 2019

PETALING JAYA, 31 JAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk menambah 25 lagi pasar tani, di seluruh negara, pada tahun ini.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, sehingga kini, sebanyak 748 pasar tani beroperasi di seluruh negara membabitkan 30,790 peserta, dengan nilai jualan RM852 juta.

Katanya, melalui penambahan pasar tani, sasaran nilai jualan bagi tahun ini adalah RM949 juta dengan bilangan peserta juga dijangka meningkat lebih kurang 1,250 orang.

“Pengguna juga dapat berjimat RM20 bagi setiap pembelian RM100 di pasar tani, berbanding harga di pasar awam lain.

“Berdasarkan anggaran 1,000 pengguna bagi sesebuah lokasi pasar tani, penjimatan yang boleh dibuat ialah RM14.66 juta dalam tempoh seminggu, RM58.64 juta (sebulan) dan RM762 juta (setahun),” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2019, di Pasar Tani Seksyen 17, di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, Program Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina diadakan di 378 pasar tani di seluruh negara, bermula hari ini sehingga 4 Februari ini.

Katanya, program jualan khas itu menawarkan lima hingga 20 peratus penjimatan berbanding pasar awam bagi pembelian barang terpilih kepada pengguna khususnya masyarakat Tionghua.

PETALING JAYA, 31 Jan — Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ishak Ismail (tengah) menyempurnakan pelancaran Jualan Jimat Belanja sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Tani Seksyen 17 hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Penjimatan ini dapat dilaksanakan melalui Program Ladang Kontrak (dibawa terus dari ladang) bagi sayur-sayuran dan buah-buahan, pembekalan terus dari jeti bagi komoditi ikan dan hasilan laut serta pengimportan barang-barang runcit juga hasil pertanian yang tidak ditanam dalam negara,” katanya.

Pada masa sama, Ishak memberi jaminan harga barang keperluan dan makanan di pasar tani akan tetap berpatutan dan kompetitif, pada musim perayaan ini.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin bekalan barang keperluan dan makanan yang dipasarkan di semua peruncit jualan FAMA akan mencukupi, pada musim perayaan ini.

“FAMA juga akan membuat pemantauan dalam memastikan peniaga tidak akan menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya untuk menjaga hak pengguna,” katanya.


Pengarang :