SELANGORSUKANKINI

FAS galak remaja bina kerjaya selaku pengadil

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menggalakkan remaja membina kerjaya dengan memilih pengadil bola sepak sebagai kerjaya.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ia bertujuan mengelakkan golongan berkenaan daripada terjebak dengan gejala kurang sihat.

“Bidang pengadil bola sepak juga adalah kemahiran yang menyediakan platform kerjaya sekali gus mampu menjana pendapatan munasabah kepada golongan remaja.

“Apabila mereka menceburi bidang ini, ia secara tidak langsung dapat menyelamatkan remaja daripada terjebak dengan aktiviti kurang berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Pengadil dan Penilai Pengadil FAS 2019 di Kompleks Akademi Bolasepak Merah Kuning, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, FAS komited meneruskan usaha melahirkan pengadil kebangsaan yang berkualiti.

“Hanya dengan melahirkan pengadil ke peringkat FAM, Selangor sekali gus dapat melahirkan calon Pengadil FIFA yang berpeluang ke peringkat Piala Dunia,” katanya.

Terdahulu, FAS turut merangka beberapa garis panduan bertujuan mempromosikan bidang pengadilan kepada golongan wanita menjelang tahun depan.


Pengarang :