Selangorkini
NASIONAL

Geng Tepung Susu tumpas, 218 susu dirampas

IPOH, 15 JAN: Polis menumpaskan ‘Geng Tepung Susu’ yang terlibat dalam sembilan kes mencuri susu tepung bernilai RM20,000 di pasar raya sekitar bandar raya itu, pada 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata, wanita berumur 36 tahun bersama anak lelaki (15 tahun) dan adik lelaki wanita itu (19 tahun) ditahan polis di sebuah banglo yang disewa mereka di Taman Menglembu Impiana Adril di sini, kira-kira jam 11 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam rumah itu menemui 218 tin dan kotak susu pelbagai jenama antaranya Anlene Gold, Snow Neobaby, Snow Neokid Plus, Fridso, Frisolac, Ensure Gold, Anmum dan Enfragrow selain merampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza serta sebuah telefon bimbit.

“Hasil siasatan mendapati seorang lelaki lain berusia 40-an yang merupakan rakan wanita terbabit akan menjual susu tepung yang dicuri itu kepada orang lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, hari ini.

Menurut Mohd Ali, berdasarkan siasatan, modus operandi geng itu adalah mengalihkan beberapa susu tepung ke tempat lain bagi mengelak kegiatan itu dirakam kamera litar tertutup dengan bantuan lelaki berumur 40-an berkenaan.

“Wanita terbabit kemudian masuk ke dalam pasar raya dan memasukkan susu yang telah dialihkan itu ke dalam beg manakala lelaki berkenaan mengalihkan pandangan pekerja di kaunter pasar raya dengan membeli barang dengan harga yang murah dan membuat bayaran.

“Wanita itu kemudian keluar dari pasar raya manakala adik dan anaknya itu tunggu di luar pasar raya sebelum mereka melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Bezza yang disewa,” katanya.

Mohd Ali berkata, pasar raya yang menjadi sasaran antaranya di Sungai Senam, Lahat dan Jelapang.

Beliau berkata, wanita itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes sama di Ipoh dan Nibong Tebal manakala anak dan adiknya tiada rekod jenayah.

“Wanita itu merupakan ibu tunggal dan tiada pekerjaan sementara anaknya tidak bersekolah. Mereka melakukan kegiatan itu sejak awal tahun lepas,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan dan ketiga-tiga mereka direman lima hari mulai semalam.

Katanya, polis kini sedang mengesan lelaki berumur 40-an itu.

– BERNAMA


Pengarang :