Malaysia’s Wee Kiong Tan (L) and Malaysia’s V Shem Goh and return to South Korea’s Lee Yong Dae and South Korea’s Yoo Yeon Seong during their men’s doubles quarter-final badminton match at the Riocentro stadium in Rio de Janeiro on August 15, 2016, at the Rio 2016 Olympic Games. / AFP PHOTO / Ed JONES
NASIONALSUKANKINI

Giliran V Shem-Wee Kiong pula tinggalkan BAM

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Selepas beberapa hari spekulasi bertiup kencang, kini sah bekas beregu lelaki nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

BAM dalam satu kenyataan berkata, badan induk badminton negara itu membuat keputusan untuk menerima peletakan jawatan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu, yang berkuat kuasa 5 Januari ini.

“Setelah mempertimbangkan dengan teliti dan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan, BAM mencapai keputusan menerima peletakan jawatan ini.

“BAM ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pemenang pingat perak Olimpik Rio ini kerana berkongsi nilai, prinsip dan falsafah persatuan sepanjang tempoh 17 tahun berkhidmat bersama pasukan kebangsaan.

“BAM mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang akan memulakan fasa seterusnya dalam kerjaya mereka,” katanya lapor BERNAMA.

Berita itu tidak mengejutkan kerana pemenang pingat emas Glasgow 2014 itu bergelut dengan prestasi tidak konsisten dan sebelum ini menyatakan hasrat untuk bergerak secara profesional.

Pasangan beregu berusia 29 tahun itu berada di puncak kerjayanya, pada 2016 apabila memenangi pingat perak Olimpik, menamatkan kemarau pingat 20 tahun dalam acara beregu lelaki.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat perak beregu lelaki adalah pada 1996, di Olimpik Atlanta menerusi pasangan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock.

Datuk Lee Chong Wei kini satu-satunya pemenang pingat di Rio yang masih kekal di bawah BAM selepas satu lagi pemenang pingat perak Rio (beregu campuran), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengejutkan peminat badminton dengan meninggalkan BAM, dua minggu lalu.

Sebelum ini, beberapa pemain membuat keputusan untuk keluar daripada badan induk itu ekoran pelbagai sebab antaranya Iskandar Zulkarnain Zainuddin (perseorangan lelaki); Tee Jing Yi (perseorangan wanita) serta Chooi Kah Ming dan Lim Khim Wah (beregu lelaki).


Pengarang :