SELANGOR

Guna pemandu warga asing, Kerajaan Negeri tidak kompromi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 JAN: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap syarikat kontraktor pengurusan sisa yang menggunakan perkhidmatan pemandu lori warga asing.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri akan mengenakan tindakan tegas terhadap pihak terbabit termasuk menamatkan kontrak sekiranya diperlukan.

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan sikap kontraktor yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kerajaan Negeri juga akan mengarahkan KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk memberi penjelasan bertulis dan mahu mereka memastikan supaya perkara seumpama itu tidak berlaku lagi,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video seorang pekerja Bangladesh mengaku sudah lapan tahun memandu lori tanpa lesen dan lori dipandu dalam video itu adalah kenderaan sub-kontraktor KDEBWM.

Sze Han berkata, pihaknya menghargai komitmen orang awam yang begitu peka dan prihatin dengan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri itu.

Katanya, ia telah membantu kerajaan dalam memantau perkhidmatan kontraktor dilantikkan KDEBWM.

“Orang awam juga diminta membuat laporan atau aduan melalui saluran disediakan seperti melalui aplikasi iClean, WhatsApp: 019-2742824, talian hotline: 1-800-88-2824 atau emel: [email protected].

 


Pengarang :