SELANGOR

Guna teknologi ‘disruptive’, sedia rumah mampu milik

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 6 JAN: Pemaju perumahan di Malaysia disaran untuk segera mengguna pakai teknologi ‘disruptive’ bagi melakukan transformasi kepada sektor perumahan sebagai jawapan kepada penyediaan rumah mampu milik kepada rakyat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menurut Laporan Bank Dunia, Kerajaan Indonesia kini meneroka penggunaan teknologi berkaitan antaranya ‘artificial intelligence’, analisis big data, teknologi ‘blokchain’, dron, E-Wallet bagi merubah rangkaian nilai perumahan secara radikal.

Katanya, menerusinya, ia bakal merubah sektor perumahan mampu milik dan menambah baik kehidupan jutaaan manusia.

“Kerajaan sentiasa berusaha bersama pemaju perumahan, institusi kewangan, persatuan pengguna, pemegang taruh dan pihak berkaitan untuk merapatkan lagi jurang perumahan mampu milik di negara ini.

“Kita perlu belajar dari negeri jiran yang menghadapi masalah membekalkan rumah mampu milik. Di Indonesia kini menjalani pertumbuhan populasi pesat sebanyak 4.1 peratus setahun berbanding dua peratus setahun di Malaysia.

“Dianggarkan negara itu memerlukan antara 820,000 hingga sejuta unit rumah setiap tahun bagi memenuhi permintaan penduduk yang semakin bertambah menjelang 2030,” katanya dalam Majlis Penyerahan Kunci Simfoni Rumah SelangorKu di Eco Majestic di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, analisis Bank Negara yang menggunakan kaedah ‘median multiple’, indeks ketidakmampuan memilik rumah menunjukkan peningkatan daripada 4.1 peratus pada 2002 kepada 5.0 peratus (2016).

K atanya, harga juga meningkat kepada 78.9 peratus pada tempoh sama berbanding peningkatan pendapatan isi rumah hanya 11.7 peratus.

“Justeru, kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membina sejuta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun untuk membantu orang ramai khususnya golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin memuji pembinaan Rumah SelangorKu dan menyifatkan kejayaan model rumah mampu milik itu tidak boleh dinafikan apabila kos dan tempoh masa siap seperti dijanjikan.

Katanya, ia adalah penanda kejayaan satu dasar perumahan mampu milik yang efektif sekali gus wajar diterima pakai di negeri lain bahkan negara.

 


Pengarang :