NASIONAL

Hadkan lorong kiri untuk motosikal, elak kemalangan maut

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sedang mengkaji cadangan menghadkan lorong kiri jalan raya khusus untuk pengguna motosikal, terutama kapcai bagi mengurangkan kadar kemalangan maut pengguna kenderaan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Rosli Isa berkata, statistik JKJR 2018 menunjukkan lebih 60 peratus daripada 6,742 kes kemalangan maut lalu lintas membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sedang melihat keberkesanan pelaksanaan langkah itu di negara maju, seperti Hong Kong dan Australia.

“Penggunaan lorong kiri untuk motosikal berkuasa kecil 150 cc dan ke bawah sudah lama dipraktikkan di negara itu.

“Di Malaysia, nyawa penunggang dan pembonceng motosikal diibaratkan ‘telor di hujung tanduk’ apabila ada antara penunggang motosikal terutama yang berkuasa kecil menggunakan lorong tengah dan kanan jalan raya,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, tabiat menggunakan lorong tengah dan kanan mendedahkan penunggan motosikal kepada risiko kemalangan serta kematian apabila berlanggar dengan kenderaan lain yang lebih besar.

“Kita juga akan melihat keperluan mengurangkan kelajuan motosikal 150cc dan ke bawah untuk dihadkan maksimum sekurang-kurangnya 70 kilometer perjam (km/j) kerana berdasarkan kajian lalu, faktor utama kemalangan maut motosikal adalah disebabkan ‘speeding’,” katanya.

Terdahulu, sebuah kumpulan WhatsApp dikenali sebagai Safety First menyuarakan cadangan sama kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, bagi mengurangkan kadar kematian yang tinggi membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal berkuasa rendah.

Kumpulan itu yang mempunyai kira-kira 500 anggota berpendapat, undang-undang sepatutnya digubal segera bagi mengharamkan motosikal kecil menggunakan lorong tengah atau kanan jalan raya yang dikhususkan untuk kereta dan kenderaan besar lain.

Sementara itu, Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kebanyakan penunggang motosikal berkuasa kecil di bandar besar sering dilihat menyelit di celah kenderaan lain, terutama pada waktu puncak.

“Di jalan yang tiada lorong khas motosikal, memang selalu penunggang motosikal berkuasa kecil atau kapcai ini menyelit dan menggunakan lorong tengah serta lorong kanan.

“Ini menyusahkan kenderaan besar yang lain, sedangkan lorong kanan dan lorong tengah untuk kenderaan besar dan laju.

“Memang sudah tiba masanya untuk kapcai ini hanya dibenarkan menggunakan lorong kiri demi keselamatan penunggang dan pembonceng kerana motosikal adalah kenderaan yang kecil serta apabila berlaku kemalangan, sememangnya risiko maut itu tinggi,” katanya.

 


Pengarang :