NASIONAL SUKANKINI

Halang atlet Israel, Serantau Muslim sanjung usaha PM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 JAN: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyanjung tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak membenarkan atlet Israel menyertai acara sukan di negara ini.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, tindakan terbabit adalah wajar sejajar dengan dasar kerajaan yang menyekat kemasukan pemegang pasport Israel.

Katanya, tindakan tegas Kerajaan Malaysia wajar dicontohi pemimpin segenap dunia demi menyatakan sokongan penuh terhadap rakyat Palestin dan sekali gus membantah kekejaman Israel terhadap mereka.

“Oleh itu kami berharap tindakan seperti ini dapat memberi tekanan kepada Israel agar tidak meremehkan soal hak asasi manusia.

“Sekali lagi, tahniah Malaysia kerana bertindak berani atas keputusan ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan Kerajaan tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Tun Mahathir berkata, sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan.


Pengarang :