SELANGOR

Halimey komited selesai isu rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 2 JAN: Bersempena sambutan tahun baru, Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar terus menyatakan komitmen untuk menyelesaikan masalah rakyat, di kawasan itu.

Katanya, pelbagai program sudah dirangka untuk dilaksanakan pada setiap bulan bagi mensejahterakan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

“Atas dasar itu, kita menganjurkan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat DUN Seri Seti untuk meraikan rakyat yang sering memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada saya sejak sebelum menjadi ADN sehingga dipilih dalam pilihan raya kecil lalu.

“Selain itu, majlis tahlil turut diadakan buat Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, bekas ADN Seri Setia yang banyak berjasa kepada kita selama ini,” katanya kepada Media Selangor, pada majlis berkenaan di Pusat Khidmat DUN Seri Setia, di sini, semalam.

Turut hadir ADN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd Zani Che Din.

Pada majlis sama, Halimey turut menyerahkan beg sekolah kepada peserta Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), di DUN terbabit.

Katanya, program “Back To School” juga akan diadakan pada hujung Januari ini bertujuan meraikan pelajar yang memasuki tahun satu.

“Sumbangan agak lambat sedikit kerana saya menyambung kerja Allahyarham Prof Shaharuddin, jadi ada beberapa perkara tergendala yang perlu disusun semula.

“Selain itu, Januari juga akan dijadikan sebagai bulan kesihatan dengan kita akan mengadakan beberapa program untuk orang ramai mendapatkan rawatan kesihatan di pusat khidmat saya,” katanya.

Katanya, Klinik Rakyat juga akan mula dibuka di Pusat Khidmat DUN Seri Setia, pada 4 Januari ini dari jam 8 malam hingga 10 malam (minggu pertama dan ketiga setiap bulan).


Pengarang :