BERITA UTAMASELANGOR

Hampir 10,000 penjawat awam terima manfaat PSPA

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

TANJONG KARANG, 22 JAN: Hampir 10,000 penjawat awam gred 44 di Selangor menerima manfaat Skim Peduli Sihat Penjawat Awam (PSPA) sejak mula diperkenalkan, pada tahun lalu.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, skim perlindungan insurans itu membabitkan peruntukan RM1.1 juta bagi rawatan kesihatan dan perubatan, khairat kematian ekoran kemalangan serta kecacatan kekal menyeluruh.

“Penjawat awam N44 ke bawah sekiranya meninggal dunia, keluarga atau waris berkenaan akan menerima RM10,000, malahan dalam skim ini, jika mereka mengalami kemalangan sehingga menyebabkan kecacatan turut mendapat jumlah sama.

“Sepanjang tahun lalu, seramai 23 penjawat awam di Selangor meninggal dunia dan keluarga mereka menerima manfaat khairat kematian.

“Untuk 2019, Kerajaan Negeri komited membuat penambahan peruntukan RM1 juta ke dalam skim ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Penyerahan Bantuan Khairat Kematian Skim Peduli Sihat Penjawat Awam (PSPA) kepada pewaris penjawat awam Selangor yang meninggal dunia, di Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Tanjong Karang, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau menyerahkan cek sumbangan RM10,000 kepada pencarum PSPA yang juga isteri Allahyarham Eddie Erwan Marzuki,41, iaitu Rosnaiza Al Bahar.

Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai anggota JPS daerah itu meninggal dunia pada 20 Oktober tahun lalu akibat serangan jantung dan meninggalkan seorang balu serta empat orang anak berusia antara lima hingga 19 tahun.

Terdahulu, dalam program berasingan, Dr Mariah turut berkesempatan menyerahkan sumbangan sama kepada waris Allahyarham Hasniza Abdul Aziz,53, yang juga kakitangan Jabatan Pejabat Daerah Tanah Kuala Selangor dan meninggal akibat Acute Coronary Syndrome (pengurangan aliran darah ke jantung).

Dr Mariah berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan bebanan yang ditanggung waris atau ahli keluarga terdekat setelah kehilangan orang tersayang.

“Kerajaan Negeri amat menghargai peranan disumbangkan penjawat awam selama ini dan saya merakamkan takziah kepada semua waris atas kehilangan itu.

“Saya juga percaya bantuan daripada Kerajaan Negeri ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada keluarga terbabit demi kelangsungan hidup,” katanya.

 


Pengarang :