SELANGOR

Hampir RM1 juta baik pulih infrastruktur Kampung Chempaka

PETALING JAYA, 31 JAN: Sejumlah RM925,682.01 diperuntukkan untuk membaik pulih beberapa infrastruktur bagi kemudahan penduduk, di Kampung Chempaka di sini.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, ia membabitkan baik pulih pasar besar dengan kos RM678,686.01, tandas awam (RM209,196) dan gelanggang bola keranjang (RM37,800).

Katanya, peruntukan bagi pasar besar dan tandas awam dibiayai sepenuhnya Majlis Bandaraya Petaling Jaya, manakala gelanggang bola keranjang di bawah peruntukan Ahli Parlimen Damansara.

“Kerja membaik pulih pasar besar membabitkan beberapa penggantian seperti menukar lantai dan meja konkrit, kerja pendawaian, mengecat, sistem pengudaraan lebih baik juga pembersihan longkang.

“Manakala tandas awam yang lama diroboh dan kita bina yang baru berkonsep mesra pengguna dan Orang Kelainan Upaya, sementara gelanggang bola keranjang pula dicat dan digantikan lantai serta bumbung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program naik taraf Kampung Chempaka, di Balai Raya Kampung Chempaka di sini, semalam.

Katanya, kerja pembaikan pasar yang bermula sejak 3 September tahun lalu dijangka siap sepenuhnya, pada 18 Mac ini sementara tandas awam dan gelanggang bola keranjang akan siap, pada 15 Februari ini.

Pada masa sama, beliau berharap penambahbaikan kesemua infrastruktur berkenaan bakal meningkatkan daya tarikan orang ramai untuk berkunjung ke Kampung Chempaka.

“Kampung Chempaka adalah salah satu daripada tiga kampung baharu masyarakat Cina, di kawasan Petaling Jaya dan penting bagi kita untuk memelihara tradisi serta keindahannya.

“Justeru, saya bertekad bukan hanya untuk mengekalkan kewujudan kampung ini, namun infrastruktur kemudahan awam perlu dipertingkatkan supaya masyarakat gembira dan selesa,” katanya.

 


Pengarang :