NASIONALWANITA & KEBAJIKAN

Hanya 12.8 peratus wanita jalani saringan kanser pangkal rahim

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Kira-kira 12.8 peratus sahaja wanita di negara ini melakukan pemeriksaan pangkal rahim (servik) sekali gus menunjukkan kadar paling rendah menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sedangkan WHO menetapkan 70 peratus wanita perlu menjalani pemeriksaan berkenaan bagi mencegah jumlah pesakit kanser lebih ramai.

Katanya, di Malaysia kanser pangkal rahim adalah ketiga tertinggi iaitu pada kadar 7.7 peratus selepas kanser payudara (32.1 peratus) dan kanser kolorektal (10.7 peratus).

“Kadar purata wanita di negara ini berisiko mendapat kanser pangkal rahim ialah satu daripada 116 orang.

“Bagaimanapun kita dapati, wanita di negara ini enggan menjalani pemeriksaan secara sukarela kerana malu dan bimbang selain halangan untuk pergi membuat ujian penyakit berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Revolusi Penyaringan Penghapusan Kanser Serviks (ROSE) di Hotel Majestic, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Pakar Perunding Obstetrik Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Woo Yin Ling.

ROSE adalah inovasi sistem pemeriksaan sendiri kanser pangkal rahim dibangunkan UM dan VCS Foundation Australia.

Wan Azizah berkata, melalui ROSE, beliau yakin lebih ramai wanita akan membuat pemeriksaan kanser pangkal rahim kerana ia dapat dilakukan sendiri di rumah atau pejabat.

Katanya, maka halangan dan rasa malu untuk wanita melakukan pemeriksaan juga dapat dihapuskan.

“Bagi mereka yang ingin membuat pemeriksaan, pendaftran boleh dibuat melalui telefon bimbit dan keputusan akan dihantar terus kepada pesakit.

“Dengan kata lain, wanita tidak perlu lagi ke klinik untuk melakukan pemeriksaan kanser pangkal rahim dan perasaan malu serta kebimbangan untuk melakukan ujian itu dapat dihapuskan.

“Ini juga dapat mendidik wanita lebih mementingkan kesihatan dan membuat pemeriksaan secara sendiri serta meningkatkan kesedaran umum mengenai bahaya kanser pangkal rahim,” katanya.

 


Pengarang :