EKONOMINASIONAL

Harga getah cecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Harga getah Malaysia mencecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan apabila harapan Amerika Syarikat (AS) dan China akan mencapai penyelesaian dalam perang dagangan meningkatkan sentimen pasaran.

Pasaran niaga hadapan getah serantau yang kukuh dan peningkatan harga minyak juga membantu kenaikan itu, kata seorang peniaga.

“Para pelabur akan memantau dengan rapat rundingan antara AS dan China, dua ekonomi terbesar dunia yang telah berlanjutan ke hari ketiga,” kata peniaga itu.

Niaga hadapan getah Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) juga meneruskan kenaikannya mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan berikutan harapan tinggi AS dan China akan menamatkan perang perdagangan mereka.

Harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 naik 8.0 sen kepada 570.5 sen sekilogram dan lateks pukal meningkat 3.5 sen kepada 402 sen sekilogram.

Harga penutup pada pukul 5 bagi gred tayar SMR 20 meningkat 1.5 sen kepada 564 sen sekilogram manakala lateks pukal naik 1.0 sen kepada 401 sen sekilogram.

— BERNAMA

 


Pengarang :