KUALA LUMPUR 04 OKTOBER 2017. Tinjauan harga ikan di Pasar Basah Bandar Baru Bangi. NSTP/Ihsan PEMBACA
NASIONAL

Harga ikan dijamin stabil – LKIM

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan harga makanan laut terutama ikan tidak akan mengalami peningkatan walaupun keadaan cuaca tidak menentu pada masa kini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya membuat persediaan awal bagi memastikan bekalan ikan mencukupi.

“Kami jamin harga ikan tidak akan naik sebab kami membuat persediaan awal bagi memastikan stok mencukupi dan LKIM menerusi pelbagai pihak di bawah agensi ada menyimpan serta menambah stok ikan dan kami juga ada bekalan ikan sejuk segar dengan harga murah, jadi usaha yang kami buat itu akan dapat menstabilkan harga ikan.

“Kami tidak ada satu punca kuasa untuk menetapkan harga ikan di pasaran jadi kami perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan tidak ada kenaikan harga mendadak tetapi di peringkat LKIM apa yang kami mampu lakukan ialah memastikan bekalan ikan mencukupi dan harga ikan stabil terutama pada musim tengkujuh,” katanya, lapor BERNAMA, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga mengambil langkah untuk mengehadkan pengeskportan ke luar negara bagi memastikan bekalan dalam negara mencukupi.

“Sepanjang Januari dan Februari ini, kerajaan telah hadkan pengeksportan beberapa jenis ikan ke luar negara seperti ikan kembong dan bawal. Usaha ini untuk memastikan ikan dalam negara mencukupi, ada juga peniaga yang eksport ke luar tapi kami telah arahkan untuk hadkan eksport ikan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, beliau menjangkakan harga makanan laut terutamanya ikan akan mengalami kenaikan harga.

“Ya, kami jangkakan harga ikan akan naik terutamanya bekalan ikan segar susulan keadaan cuaca buruk kebelakangan ini, angin kencang, ribut dan sebagainya yang menyukarkan nelayan untuk ke laut, tetapi harga ikan akan turun apabila cuaca kembali seperti biasa.

“Namun harga barang makanan lain tidak akan terjejas, katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini mengeluarkan penamatan amaran ribut tropika Pabuk setelah kedudukan ribut tropika itu semakin menjauhi perairan Malaysia dan tidak lagi memberi ancaman kepada negara.


Pengarang :