NASIONAL

Harga jalur lebar turun beri manfaat pada karyawan kandungan

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Kejayaan kerajaan menurunkan harga tetap jalur lebar sebanyak 25 peratus pada tahun lalu, penuh bermakna bagi sekurang-kurangnya 10,000 karyawan kandungan, kata Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia, Dr Mahadi J Murat.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo atas inisiatif itu, Mahadi berkata, golongan karyawan kandungan adalah pendokong utama dalam menjayakan agenda pendigitalan dan reka cipta kandungan daripada filem berskala besar sehingga ke filem internet yang kini semakin pesat membangun.

“Ia juga sangat penting dalam membangunkan kapasiti sumber tenaga serta pelajar dalam bidang komunikasi, media dan perfileman di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahadi juga berharap kadar harga itu bukan sahaja akan terus dipertahankan malah tebaran penetrasi jalur lebar dapat dijaringkan berterusan meliputi seluruh pelosok negara.

Dalam pada itu, katanya, sudah sampai masa kerajaan perlu mendekati golongan karyawan kandungan serta menimbangkan sebarang bentuk galakan dan perlindungan kepada mereka.

Semalam, Gobind mengumumkan sasaran kerajaan menurunkan harga tetap jalur lebar sebanyak 25 peratus pada akhir tahun lalu berjaya dicapai.

Kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan Standard Mandatori bagi Harga Akses (MSAP) oleh kerajaan, yang menjurus kepada harga jalur lebar tetap lebih rendah.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :