NASIONAL

Harga petrol, diesel turun bermula esok

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel bermula esok sehingga 11 Januari ini, menerusi pelaksanaan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan trend penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga runcit petrol RON97 akan diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter, RON95 (RM2.20 seliter) kepada RM1.93 seliter manakala diesel (RM2.18 seliter) kepada RM2.04 seliter.

“Mesyuarat Jemaah Menteri diadakan pada 2 Januari lalu dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pertimbangan ke atas perkara itu dan bersetuju supaya penetapan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan mulai 12 tengah malam esok.

“Harga runcit produk petroleum ini akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM) sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia ketika ini.

“Pengumuman harga runcit akan dibuat pada Jumaat setiap minggu dan berkuat kuasa mulai Sabtu sehingga Jumaat. Perlu ditegaskan harga baharu ini mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keputusan pelarasan semula harga runcit produk petroleum itu juga mengambil kira pandangan semua pihak berkaitan termasuk permintaan Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM) yang telah bertemu Perdana Menteri dan memohon supaya diteliti semula kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak yang mana salah satu komponen di bawah formula APM, pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum.

“Kerajaan bersetuju supaya Margin Pengusaha Stesen Minyak diselaraskan dengan tambahan 2.81 sen kepada 15 sen seliter bagi produk petrol RON95 dan tambahan 3 sen kepada 10 sen seliter bagi produk diesel.

“Ini adalah kenaikan sebanyak 2.81 sen seliter bagi petrol dan 3 sen seliter bagi diesel, berbanding kadar semasa. Kali terakhir kadar margin ini disemak semula adalah pada 2008.

“Kerajaan juga akan terus komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa sama melaksanakan penetapan harga memanfaatkan rakyat.

“Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

“Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi,” katanya.

Guan Eng berkata, pengekalan harga petroleum pada paras itu adalah sehingga pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini sebelum harga runcit diapungkan secara terkawal mengikut harga pasaran.


Pengarang :