SELANGOR

Hasil tanah kurang tahun lalu, kini kembali pulih – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 JAN: Hasil tanah Kerajaan Selangor berkurangan sebanyak RM340 juta pada 2018, dengan hasil sebanyak RM736.6 juta berbanding RM1.54 bilion pada 2017.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pengurangan itu berpunca akibat penangguhan beberapa projek menjelang musim Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tahun lalu.

Katanya, faktor lain ialah kebimbangan orang ramai mengenai pertukaran polisi serta kelembapan ekonomi sepanjang tahun.

“Namun, jumlah hasil berkenaan kembali pulih selepas tamatnya PRU14 dan selepas itu pembayaran berlangsung seperti biasa.

“Tambahan lagi hasil cukai Selangor juga bertambah baik diantara 90 hingga ke 98 peratus,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor 2019 bertempat di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, pagi tadi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim, barisan EXCO serta penjawat awam Selangor.

 

Sementara itu, Mohd Amin dalam ucapannya berkata, Kerajaan Selangor telah meminta Pejabat Tanah dan Galian negeri memastikan gred Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi kutipan hasil tanah melepasi unjuran yang telah ditetapkan.

Katanya, beberapa inisiatif baru diperkenalkan bagi menarik minat pemohon membayar premium tanah.

“Ini kerana lebih 82 peratus hasil kerajaan negeri adalah daripada hasil tanah, ia adalah penyumbang utama kepada Kerajaan Negeri sehingga Selangor menjadi negeri pertama dengan kutipan tertinggi pada 2017,” katanya.


Pengarang :