NASIONAL

Henti sukan air di Pulau Langkawi – APM

ALOR SETAR, 4 JAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini mengeluarkan arahan supaya semua aktiviti sukan air di kawasan pantai Pulau Langkawi dihentikan berkuat kuasa serta merta berikutan pulau peranginan itu dijangka menerima tempias ribut tropika Pabuk, mulai esok.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Langkawi, Leftenan (PA) Azam Shah Apearal berkata, arahan terbabit dikeluarkan jam 11 pagi ini selepas mendapati keadaan angin kencang berlaku di Pantai Chenang dan Pantai Tengah yang mencecah kelajuan sehingga 22 kilometer (km) sejam.

“Keadaan angin laju itu boleh menyebabkan berlaku risiko sekiranya aktiviti sukan air seperti jet ski dan parasailing diteruskan maka sebab itu kita telah menaikkan bendera merah di menara penyelamat pantai di dua pantai terbabit.

“Bagaimanapun, sekiranya ada pelancong ingin berada di persisiran pantai, kita benarkan selain turut menempatkan anggota APM di menara penyelamat pantai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menyatakan ribut tropika Pabuk sedang bergerak ke arah barat laut di Teluk Siam dengan merentasi Segenting Kra ke Laut Andaman dan keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat di negeri utara Semenanjung Malaysia.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob pagi tadi dilaporkan berkata, berdasarkan ramalan MetMalaysia, Pulau Langkawi dijangka menerima tempias ribut tropika itu bermula jam 2 petang esok.

Sementara itu, Pegawai Operasi dan Bencana APM Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, APM Kedah telah mengarahkan lebih 300 anggotanya untuk bersiap siaga di kawasan yang mungkin dilanda ribut termasuk di pantai di Pulau Langkawi, Kuala Kedah dan Kuala Muda.

“Seramai 50 anggota telah bersedia di Langkawi manakala 250 lagi anggota ditempatkan di sekitar kawasan pantai di Kuala Kedah dan Kuala Muda.

“Anggota ini ditempatkan bagi memantau dan memberi amaran kepada pelancong supaya jangan menghampiri kawasan pantai.

“Dari segi persediaan aset logistik pula, kita telah menyediakan bot dan lori lima tan sekiranya perlu dan kira-kira 1,000 sukarelawan APM juga akan ditambah sekiranya keadaan teruk di kawasan dijangka terkena tempias akibat ribut tropika itu,” katanya.

Saifuddin berkata, kesan ribut itu dijangka menyebabkan pokok tumbang, angin kencang dan banjir kilat yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :