SELANGOR

HIJRAH salur RM428.17 juta pembiayaan sepanjang empat tahun

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JAN: Hijrah Selangor (HIJRAH) sudah menyalurkan RM428,167,500 jumlah keseluruhan pembiayaan kepada usahawan yang layak sejak mula ditubuhkan pada 2015 hingga Januari tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jumlah itu membabitkan pembiayaan sebanyak 53,802 pinjaman kepada 44,734 usahawan di Selangor.

“Jumlah itu meningkat kerana ia membabitkan peserta yang meminjam secara berulang atau lebih daripada sekali pinjaman.

“Ia sekali gus membuktikan bahawa inisiatif dan inovasi diperkenalkan Kerajaan Negeri menerusi pemberian pinjaman bawah skim mikrokredit HIJRAH kepada usahawan di Selangor berkembang sihat walau baru sahaja berusia lebih kurang empat tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Perasmian Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) dan Penyerahan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor di Wisma KoHijrah, Seksyen 32, di sini, semalam.

Berdasarkan rekod, HIJRAH adalah program mikrokredit bersepadu yang membantu meningkatkan taraf ekonomi usahawan kecil supaya boleh terus maju daripada satu peringkat kepada yang lebih baik.

Skim itu bukan sahaja menyalurkan pinjaman kepada usahawan, namun ia turut menyediakan perkhidmatan profesional bagi tujuan memberi latihan kemahiran dan pemasaran supaya peserta menjadi usahawan berwibawa serta berdaya saing.

Selain itu, HIJRAH turut melaksanakan program ‘Zero To Hero’ iaitu dengan melantik syarikat peneraju berpotensi membantu melaksanakan program ‘Mentor Mentee’.

Sehingga kini, sebanyak 30 syarikat peneraju dilantik memberikan bimbingan dan pantauan selama enam bulan manakala HIJRAH memantau serta memastikan perniagaan setiap usahawan maju.


Pengarang :