SELANGOR

Hotel Concorde hidang menu masakan Cina halal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JAN: Peka dengan permintaan masyarakat, Hotel Concorde tampil dengan menu masakan Cina halal sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini.

Senior Sous Chef, Shaiful Izwan Abdullah berkata, ia sekali gus bagi membolehkan pengunjung tidak berasa was-was ketika menikmati masakan Cina disediakan.

Katanya, setiap penggunaan bahan akan dipantau pihaknya sebelum digunakan dalam setiap jenis masakan.

“Dengan adanya pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ia memberi ruang kepada orang ramai mencuba menu masakan Cina yang enak disediakan.

“Tambahan lagi, chef yang menyediakan hidangan ini sememangnya mempunyai kepakaran dalam menu masakan Cina,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Sesi ‘Food Review’ Yee Sang Tahun Baru Cina 2019 di Hotel Concorde, hari ini.

Shaiful Izwan berkata, terdapat tiga pakej menu disediakan bermula dari harga RM888 hingga RM1,188.

Katanya, setiap menu akan dihidangkan bersama Yee Sang yang menjadi hidangan wajib setiap kali makan besar ketika meraikan sambutan terbabit.

“Tambah menarik kali ini kami menyediakan tujuh jenis Yee Sang yang boleh dinikmati, antaranya ialah Salmon, Scallop, Pear & Salmon, Pacific Clan, Abalone, Fish Maw dan Disney Yee Sang.

“Menu ini disediakan bermula dari semalam hingga perayaan Chap Goh Meh pada Februari depan,” katanya.


Pengarang :