SELANGOR

Hotel Concorde sedia masakan halal Cina

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 JAN: Sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi, Hotel Concorde menyediakan pakej masakan Cina halal buat semua lapisan masyarakat.

Senior Sous Chef, Shaiful Izwan Abdullah berkata, ia sekali gus membolehkan pengunjung tidak berasa was-was ketika menikmati masakan yang disediakan.

Katanya, setiap penggunaan bahan akan dipantau pihaknya sebelum digunakan dalam setiap jenis masakan.

“Dengan adanya pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ia memberi ruang kepada orang ramai mencuba menu masakan Cina yang enak disediakan,” katanya.

Wartawan SelangorKini bersama blogger berpeluang merasai keenakan menu istimewa yang disediakan hotel terkemuka itu.

Antaranya termasuk itik panggang, ikan kerapu stim yang dimasak menggunakan sos khas dan tidak ketinggalan Yee Sang.

Pengurus Besarnya, Patrick Ng berkata, tambah menarik apabila kali ini pihaknya menyediakan tujuh jenis Yee Sang khas buat pelanggan.

Sudah tentu Yee Sang menjadi menu utama sempena Tahun Baharu Cina yang tidak boleh ditinggalkan ketika majlis makan besar diadakan.

Ia termasuk Salmon; Scallop; Pear & Salmon; Pacific Clan; Abalone; Fish Maw dan Disney Yee Sang.

“Setiap satunya mempunyai perisa yang berbeza dan bagi mereka yang berminat boleh terus datang ke hotel kami untuk merasainya,” katanya.


Pengarang :