NASIONAL

Hubungan kukuh Malaysia-HongKong jadi asas kerjasama masa depan – MITI

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Hubungan ekonomi dua hala Malaysia yang kukuh dengan Hong Kong akan meletakkan asas kukuh untuk kerjasama pada masa depan terutama dalam bidang perkhidmatan kewangan, logistik serta inovasi dan teknologi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, Hong Kong terus menjadi satu daripada rakan perdagangan utama Malaysia dan sumber pelaburan langsung asing.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan lawatan kerja dilakukan Darell ke Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong mulai 16 hingga 18 Januari lalu.

Semasa lawatan itu, Darell memenuhi jemputan daripada Ekonomi Times untuk mempengerusikan ‘Mesyuarat Sarapan Pagi CEO’ pada 17 Januari, yang dihadiri 40 ketua pegawai eksekutif dan wakil dari syarikat terpilih di seluruh Asia.

“Satu lagi acara penting lawatan kerja itu ialah pelancaran Program Truly Malaysia (TMP), di mana ‘Sudut Produk Malaysia’ akan ditubuhkan di lebih daripada 4,500 farmasi di seluruh Hong Kong dan akan memudahkan penembusan pasaran produk Malaysia di kalangan penduduk tempatan dan pelancong China di Hong Kong.

“TMP adalah satu inisiatif yang dihasilkan daripada kerjasama antara MH Cross Border Group, Persatuan Farmasi Cina Hong Kong serta Dewan Perniagaan dan Industri Hong Kong,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :