NASIONAL

Hubungan Malaysia-Singapura kekal utuh

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura kekal utuh, walaupun republik itu menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM), yang dijadualkan berlangsung esok.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, ia ekoran pertemuan bagi membincangkan beberapa isu bilateral lain antara kedua-dua negara itu tetap diteruskan, sekali gus menggambarkan hubungan Malaysia dan Singapura tidak terjejas.

“Alasan penangguhan itu, seperti yang dimaklumkan Singapura menerusi satu nota diplomatik bertarikh 11 Januari 2019, adalah kerana lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ke pelabuhan Johor Bahru di dalam wilayah perairan Malaysia, pada 9 Januari lalu.

“Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan tetap bertemu rakan sejawatnya, Menteri Pembangunan Nasional Singapura, Lawrence Wong dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan untuk berbincang isu bilateral lain antara Malaysia dan Singapura.

“Ini menunjukkan hubungan antara kedua-dua negara kekal kukuh,” katanya lapor BHOnline.

Semalam, Pejabat Kementerian Luar Singapura mengumumkan hasrat menangguhkan JMCIM yang dijadualkan berlangsung esok, susulan dakwaan pencerobohan kapal Malaysia dinaiki Osman ke perairan republik itu di Tuas, Rabu lalu.

Delegasi Malaysia yang dijadualkan hadir ke Mesyuarat JMCIM diketuai Mohamed Azmin dan turut diiringi Osman.

Mengulas lanjut pertemuan Mohamed Azmin dengan Lawrence dan Balakrishnan, Wisma Putra menyifatkan mesyuarat itu akan membentuk langkah ke hadapan yang positif, susulan pertemuan antara Menteri Luar Malaysia dan Singapura, pada 8 Januari lalu.

“Ketika ini, kedua-dua Menteri Luar sedang berhubung dan bersetuju bahawa kedua-dua pihak perlu kekal tenang dan tidak mensensasikan keadaan semasa.

“Kementerian yakin momentum hubungan Malaysia dan Singapura ketika ini akan berterusan dan kekal komited untuk mengukuhkan lagi hubungan bilateral dengan Singapura, berasaskan pada kesaksamaan dan hormat-menghormati,” kata kenyataan itu.

Khamis lalu, sebuah portal berita Singapura melaporkan lima kapal Malaysia didakwa memasuki perairan Tuas, Singapura.

Portal berkenaan turut menyiarkan beberapa gambar ihsan Pasukan Polis Singapura yang memaparkan rombongan Osman ketika melawat aset Jabatan Laut, MV Pedoman.

Bagaimanapun, Osman menafikan dakwaan itu dan yakin rombongannya masih berada di dalam perairan negara kerana pasukan yang bertugas untuk mengendalikan kapal itu arif mengenai persempadanan maritim.


Pengarang :