BERITA UTAMASELANGOR

IDE perlu terus salur maklumat didik minda masyarakat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 JAN: Institut Darul Ehsan (IDE) perlu terus menyalurkan maklumat bagi mendidik minda masyarakat, sekali gus membina komuniti berilmu, bermoral tinggi dan komited dengan prinsip kebanaran serta keadilan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana beliau melihat institusi yang ditubuhkan Kerajaan Negeri sejak 2015 banyak membuat kajian berkaitan hal politik semasa negara.

“Artikel yang diterbitkan mereka ini menjadi kayu ukur kepada banyak pihak bertanding dalam pilihan raya lalu dan yang akan datang.

“Justeru, saya mahu IDE terus salurkan maklumat berkesan dalam kalangan minda masyarakat, selari ke arah Malaysia Baru lebih berdaya saing dan bersedia dengan arus perubahan semasa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi pertemuan bersama kakitangan IDE di Ibu Pejabat IDE, petang semalam.

Dalam pertemuan itu, Amirudin turut menyertai mesyuarat bersama Pengerusi IDE, Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil; Timbalan Pengerusi IDE, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan ahli lembaga pengarah IDE.

Amirudin berkata, mesyuarat hampir tiga jam itu membincangkan semula peranan IDE dalam membuat kajian berkenaan pengukuhan agama dan ketatanegaraan.

“Untuk makluman, IDE juga membuat kajian berkenaan maqasid syariah dan kajian itu dilihat begitu maju sehingga membolehkan mereka menghasilkan istilah maqasid syariah dalam Bahasa Melayu, dan ia adalah pertama seumpamanya di dunia.

“Saya berharap supaya IDE meneruskan kajian lain, sekali gus menjadi pusat penyelidikan, pendidikan dan pencerahan masyarakat yang progresif,” katanya.

 


Pengarang :