EKONOMISELANGOR

IKEA Pulau Indah buka 300 peluang pekerjaan

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 30 JAN: Pusat Pengedaran IKEA yang akan memulakan operasi pada September 2020 bakal membuka sekurang-kurangnya 300 peluang pekerjaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kekosongan itu membabitkan golongan tenaga mahir yang berkelayakan.

“Walaupun ia adalah pusat logistik yang besar, namun sebahagian kerjanya membabitkan automasi atau robotik dan selebihnya tenaga mahir.

“Peluang pekerjaan ini terbuka kepada lepasan graduan bagi mengisi kekosongan jawatan tenaga mahir terbabit,” katanya ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Selangor Investors Appreciation Awards 2018 yang diadakan di Hotel Sheraton, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Amirudin turut merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Pengedaran IKEA Sdn Bhd yang sedang dibangunkan di Pulau Indah, Klang.

Melalui pembangunan itu, ia bakal merancakkan lagi industri pelaburan di Selangor khasnya dan Malaysia amnya.

Malah, ia akan membantu menjangkau lebih banyak pelanggan di Asia Tenggara, sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan perabot rumah dengan lebih cepat.


Pengarang :