EKONOMISELANGOR

Imej baik di rantau ASEAN faktor pelaburan meningkat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JAN: Imej baik yang ditonjolkan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama, di rantau ASEAN menjadi faktor utama kenaikan jumlah pelaburan sehingga mencecah RM8.25 bilion, sehingga September 2018.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, promosi berterusan yang dijalankan Kerajaan Negeri turut menarik lebih ramai pelabur ke negeri berkenaan.

Katanya, faktor kemudahan infrastruktur bertaraf antarabangsa sehingga mendahului negeri lain juga membolehkan Selangor mencatat kejayaan berterusan.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa memberi perkhidmatan yang baik kepada pelabur apabila mereka berada di sini dan pada masa sama, kita sentiasa cuba menyelesaikan masalah berbangkit jika diutarakan pelabur,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejayaan Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi, pada tahun lalu.

Jumlah itu melepasi sasaran RM7 bilion dan jauh lebih tinggi berbanding jumlah pelaburan, pada 2017 iaitu RM5.59 bilion.

Chang Khim berkata, pengumuman itu dibuat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui perangkaan terkini.

Katanya, jumlah itu dilihat begitu memberangsangkan ekoran kenaikan sebanyak RM2.66 bilion dicatatkan dalam tempoh setahun.

“Sudah tentu ia berita gembira buat Kerajaan Selangor pada tahun baru ini dan sudah semestinya kita mahu mengekalkan kejayaan sebegini.

“Namun, Kerajaan Negeri masih belum meletakkan jumlah sasaran pelaburan, pada 2019 ekoran ia bukanlah angka semata-mata, sebaliknya perlu dibincangkan dan mengkaji beberapa faktor termasuk situasi ekonomi pada tahun lalu,” katanya.

 


Pengarang :