NASIONAL

Imigresen Selangor tahan 108 PATI atas pelbagai kesalahan

SHAH ALAM, 26 JAN: Jabatan Imigresen Malaysia Selangor menahan 108 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi yang dijalankan di dua lokasi berasingan malam tadi.

Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, pihaknya menahan kesemua PATI atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi yang dilaksanakan di beberapa premis sekitar Puchong dan Pelabuhan Klang.

“Semua ditahan dalam operasi ini berusia antara 22 hingga 55 tahun, 52 orang adalah lelaki manakala bakinya perempuan.

“Kesemua mereka berasal dari Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Myanmar, China, India, Kemboja dan Nepal,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Katanya, dalam serbuan di Puchong, pihaknya menyerbu enam pusat hiburan dan memeriksa 142 warga asing serta menahan 54 individu terdiri daripada 51 perempuan juga tiga lelaki.

“Kesemua mereka dipercayai bekerja di premis pusat hiburan itu sebagai pelayan dan GRO (pegawai perhubungan pelanggan).

“Semasa serbuan dilakukan, mereka cuba melarikan diri malah ada juga yang menyorok, namun semuanya tidak berjaya meloloskan diri,” katanya.

Dalam serbuan di Pelabuhan Klang pula, katanya, imigresen berjaya menahan 49 lelaki dan lima wanita selepas menyerbu penempatan serta asrama warga asing di rumah kedai sekitar kawasan perindustrian.

“Semua PATI yang ditahan dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor untuk direman 14 hari, mereka akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih bagi siasatan lanjut.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas/permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tamat tempoh pas serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas,” katanya.

 


Pengarang :