NASIONAL

Inkues Muhammad Adib bermula esok

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JAN: Inkues ke atas anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, yang terkorban ekoran diserang perusuh, di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya akan diadakan esok (18 Januari), di Mahkamah Koroner.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata, semua saksi akan dipanggil termasuk doktor yang merawat dan forensik yang melakukan proses bedah siasat terhadap Muhammad Adib.

“Inkues akan bermula esok, saksi yang tersenarai akan dipanggil termasuk pegawai bomba terbabit dalam operasi pemadaman kes kebakaran yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, baru-baru ini.

“Mereka akan dipanggil berhubung siasatan dan perkara berkaitan insiden terbabit dan jika ada pihak bertanggungjawab dengan kematian itu, kita serahkan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat kepada Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya, di sini, hari ini.

Signifikan pangkat kehormat itu dianugerahkan kerana Dr Md Farid berperanan penting dalam mengaturkan rawatan selanjutnya terhadap Muhammad Adib, di IJN sehari selepas Allahyarham menerima rawatan, di Pusat Perubatan Subang Jaya.

Muhammad Adib, 24, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), pada 17 Disember 2018.


Pengarang :