GLOBAL

Insiden tembakan di Carribean ragut 7 nyawa

MEXICO, 8 JAN: Tujuh pengunjung di sebuah restoran dan bar, di pusat peranginan Carribean Mexico, Playa del Carmen, maut selepas dibunuh dua lelaki bersenjata, pada Ahad lalu.

Menurut laporan agensi berita China Xinhua, insiden yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu menyaksikan dua penyerang melepaskan tembakan di restoran dan bar Las Virginias sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang menunggu di luar premis terbabit.

Ketua Polis negeri Quintana Roo, Alberto Capella berkata, jenayah terbabit mungkin mempunyai kaitan dengan dadah.

“Berdasarkan ciri-ciri tempat kejadian dan beberapa petunjuk, mereka (penyerang) mempunyai urusan berkaitan dengan dadah,” katanya.

Enam mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala yang ketujuh menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital.

Dilaporkan beberapa pengunjung lain turut cedera.

Capella berkata, bar itu tidak terletak berhampiran lokasi yang sering dikunjungi pelancong.

Playa del Carmen serta Cancun yang terletak berhampiran merupakan destinasi pelancongan terkemuka Mexico, dan kedua-duanya menyaksikan peningkatan dalam insiden jenayah berkaitan dadah.

Pada Januari 2017, tiga warga asing dan dua rakyat Mexico terbunuh dalam satu insiden tembakan di Bar Blue Parrot yang terkenal di Playa del Carmen dan terletak di lokasi utama yang sering dikunjungi pelancong.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :