NASIONAL

Interaksi boleh tingkat persepsi rasa selamat rakyat

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran memperbanyakkan interaksi bersama orang awam bagi meningkatkan tahap persepsi rasa selamat rakyat.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, melalui langkah itu, PDRM dapat menerangkan tindakan yang dilaksanakan dalam mengurangkan kadar jenayah, di negara ini.

“Ada banyak kes jenayah yang dipaparkan terutama di media sosial yang secara tidak langsung mempengaruhi masyarakat untuk berasa tidak selamat.

“Justeru, PDRM harus memperbanyakkan interaksi dengan berjumpa masyarakat dalam usaha memperbaiki persepsi rasa selamat itu,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata, PDRM juga perlu melaksanakan syor dicadangkan sejurus kajian dibuat satu badan bebas yang akan dilantik dalam usaha memperbaiki kembali persepsi rasa selamat masyarakat, di negara ini.

Semalam, BERNAMA melaporkan PDRM akan melantik satu badan bebas bagi mengkaji tahap persepsi rasa selamat rakyat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, walaupun indeks jenayah negara menurun saban tahun, namun persepsi rasa selamat rakyat di negara ini belum berada pada tahap memuaskan.


Pengarang :