GLOBAL

Isu presiden cetus tunjuk perasaan baharu di Venezuela

CARACAS, 31 JAN: Penyokong Juan Guaido, yang melantik dirinya sebagai presiden sementara Venezuela, turun ke jalanan pada Rabu susulan seruan beliau untuk mengadakan tunjuk perasaan.

Orang ramai dilihat berkumpul di beberapa kawasan di ibu kota Caracas sambil membawa plakad tertera ayat “kerajaan sementara, pilihan raya bebas,” lapor koresponden agensi berita Turki Anadolu yang berada di lokasi.

Guaido mengakui dalam ucapannya di Universiti Pusat Venezuela di Caracas bahawa orang ramai telah keluar ke jalanan untuk mengadakan tunjuk perasaan.

Beliau menyeru rakyat Venezuela untuk mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan pada Sabtu ini.

Melalui Twitter, Guaido berkata, dengan setiap demonstrasi, negara itu akan menghampiri kebebasan yang berhak dikecapinya dan mendapat bantuan kemanusiaan segera.

“Kita bangkit mengadakan tunjuk perasaan secara aman serta bersiap siaga untuk melakukannya pada Sabtu ini di seluruh Venezuela dan dunia,” katanya.

Minggu lalu, Guaido, Presiden Dewan Perhimpunan Kebangsaan yang dikuasai pembangkang Venezuela, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden, satu langkah yang segera disokong oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Kanada dan kebanyaka negara Amerika Latin.

Presiden Venezuela, Nicolas Maduro segera bertindak balas dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Washington serta menuduh AS menjadi dalang dalam percubaan rampasan kuasa terhadap kerajaannya.

Venezuela digegarkan oleh tunjuk perasaan sejak 10 Januari lalu apabila Maduro mengangkat sumpah jawatan itu bagi penggal kedua susulan tindakan pembangkang memboikot pengundian.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :