NASIONAL

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik capai prestasi luar biasa

KOTA KINABALU, 22 JAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan prestasi luar biasa pada suku terakhir 2018.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ia menyaksikan peningkatan 10 peratus kadar tangkapan iaitu seramai 53,380 orang berbanding 48,582 tangkapan pelbagai kesalahan dadah bagi tempoh sama pada 2017.

Katanya, nilai rampasan yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun lepas meningkat 231 peratus berbanding rampasan tempoh sama pada 2017 (RM70.4 juta).

“Selain itu, sembilan makmal haram memproses dadah berjaya dibongkar pada suku terakhir tahun lepas dan ia meningkat berbanding tempoh sama pada 2017 iaitu lima buah makmal haram dibongkar.

“Kejayaan luar biasa itu merupakan pencapaian terbaik pernah dicapai oleh JSJN dan usaha itu kita akan terus pertingkatkan bagi memerangi dadah di seluruh negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Se-Malaysia 1/2019, hari ini.

Beliau berkata, prestasi luar biasa itu disebabkan adanya keberkesanan risikan dan usaha bersepadu dalam PDRM untuk membanteras pengedaran dadah.

“Walaupun JSJN adalah jabatan bertanggungjawab membanteras dadah, namun jabatan-jabatan lain yang ada dalam PDRM juga membantu khususnya dari segi pengumpulan maklumat.

“Kerjasama dengan masyarakat luar juga membantu usaha ini dan saya berterima kasih kepada pihak luar kerana berani tampil ke hadapan memberikan maklumat kepada dalam memudahkan tindakan,” tambahnya.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya juga mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa luar khususnya berkaitan maklumat, latihan dan kemudahan peralatan terutamanya teknologi baharu untuk membuat pengesanan dadah.

-BERNAMA


Pengarang :