NASIONALWANITA & KEBAJIKAN

Jadi mentor, upaya sosio-ekonomi wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 14 JAN: Wanita KEADILAN zon tengah digalak mampu menjadi mentor kepada wanita zon lain untuk merancakkan ekonomi golongan terbabit.

Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha berkata, ia kerana wanita KEADILAN zon tengah mempunyai Pusat Wanita Berdaya (PWB) yang berfungsi meningkatkan status sosio-ekonomi wanita.

“Saya optimis kemahiran yang diperoleh wanita KEADILAN zon tengah dalam PWB mampu memberi tunjuk ajar dan menjadi mentor kepada wanita di zon lain.

“Itu antara agenda kita iaitu mahu memberi fokus melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dalam kalangan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Wanita KEADILAN 2019 Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Pelancaran Kempen Membanteras Keganasan Terhadap Wanita, di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Dr Daroyah Alwi dan Ketua Wanita Wilayah Persekutuan, Idawate Pariman.

Antara zon lain adalah membabitkan wanita KEADILAN zon Johor, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak

Pada masa sama, Haniza berkata, satu pertemuan sedang diatur untuk bertemu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Sri Mohamed Azmin Ali bagi membincangkan strategi mengembangkan ekonomi wanita seluruh Malaysia.

Terdahulu, konvensyen zon tengah yang menghimpunkan hampir 500 jawatankuasa wanita KEADILAN Selangor dan Wilayah Persekutuan itu bertujuan memperkenalkan saf kepimpinan wanita peringkat pusat dan negeri.


Pengarang :