GLOBAL

Jambatan Senegambia semarak perdagangan Afrika Barat

FARAFENNI, 22 JAN: Jambatan Senegambia sepanjang 10 kilometer merentasi Sungai Gambia dijangka menyemarakkan aktiviti perdagangan dan perhubungan di Afrika Barat.

Selepas pembinaannya tertangguh sejak 1970-an, Jambatan Senegambia yang menghubungkan Senegal dan Gambia dibuka secara rasmi selepas presiden dari kedua-dua negara menyempurnakan majlis perasmiannya, semalam.

Majlis perasmian diadakan di Farafenni, iaitu kawasan sempadan di antara kedua-dua negara.

“Saya sering tertanya, kenapa pembinaan jambatan ini mengambil masa yang lama, sedangkan semua pihak menyedari keadaan muka bumi Gambia dan Senegal hanya dipisahkan oleh sebatang sungai,” kata pemimpin Gambia, Adama Barrow, iaitu negara terkecil di benua Afrika yang hampir keseluruhannya dikelilingi Senegal.

Pada masa sama, Presiden Senegal, Macky Sall, berkata: “Kita boleh berasa bangga kerana berjaya menjadikan impian rakyat sejak beberapa generasi kepada satu realiti”.

Ilham untuk membina jambatan itu tercetus pada 19790-an tetapi ia tertangguh selama beberapa kali berikutan perubahan hubungan antara Dakar dan Banjul, sebelum ia dimulakan kembali pada 2015.

Kewujudannya berjaya memendekkan perjalanan dari utara Senegal ke wilayah selatannya di Casamance, tanpa perlu menempuh laluan sejauh 400 kilometer.

– AFP


Pengarang :