NASIONAL

Jangan jadikan kes Muhammad Adib sebagai bahan kempen

PUTRAJAYA, 18 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kesal dengan tindakan pihak tertentu menjadikan kes kematian anggotanya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai bahan kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang sedang berlangsung.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, selain boleh menimbulkan sentimen perkauman, tindakan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan kredibiliti siasatan yang sedang dijalankan.

Katanya, semua pihak harus membenarkan proses siasatan dan inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib berlangsung dengan lancar, tanpa didahului gambaran negatif melalui kenyataan yang mungkin bercanggah dengan bukti atau hasil siasatan diperolehi.

“Kita tidak setuju dan tidak mahu ia diungkit menjadi satu sentimen untuk memberi gambaran negatif yang boleh menjejaskan perpaduan serta kredibiliti siasatan oleh pihak berkuasa.

“Tindakan sebegitu juga mempunyai implikasi undang-undang dan yang pasti kita tidak mahu kehilangan nyawa seorang pegawai yang ikhlas dan sejujur Muhammad Adib digunakan untuk kepentingan tertentu oleh mana-mana pihak,” katanya.

Mohamad Hamdan berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan keadilan untuk Muhammad Adib dan keluarganya terpelihara.

Terdahulu, beliau ditemui selepas upacara perbarisan tahunan JBPM, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhammad Adib dianugerahkan Pingat Jasa Bomba yang disampaikan kepada abangnya Mohd Ashraf.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Beliau disahkan meninggal dunia semasa menerrima rawatan di Institut Jantung Negara, pada 17 Disember 2018.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :