SELANGOR

Januari bulan kesihatan DUN Seri Setia

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 2 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia memilih Januari sebagai bulan kesihatan, bagi menggalakkan amalan hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Ahli Dewan Negerinya, Halimey Abu Bakar berkata, program itu bersesuaian dengan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia menguat kuasakan larangan merokok di semua premis makanan, pada 1 Januari lalu.

“Oleh itu, saya akan menganjurkan beberapa program kesihatan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Setia membabitkan sesi pemeriksaan kesihatan dan derma darah,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat DUN Seri Setia, di sini, semalam.

Beliau juga komited untuk melaksanakan lebih banyak program di DUN Seri Setia bersesuaian dengan perayaan atau majlis keraian, pada bulan terbabit.

“Untuk bulan akan datang, kita akan laksanakan pelbagai program mengikut kesesuaian perayaan pada bulan terbabit contoh seperti Februari akan ada sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.


Pengarang :